.:Selamat Datang ke Portal Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Sains Malaysia:.
Photobucket
Seluruh Warga Persatuan Mahasiswa Islam USM ingin mengucapkan selamat berangkat kepada ayahanda Timbalan Naib Canselor USM, Prof. Omar Osman yang akan menunaikan rukun Islam yang kelima, menunaikan Haji di Baitullah. Kami doakan ayahanda mendapat haji Mabrur dan semoga dipermudahkan segala urusan ayahanda di sana. InsyaAllah.
Dinar Emas dan Dirham Perak Sejarah Pengenalan Dinar Emas dan Dirham Perak. Kesohoran dinar sebagai satu matawang rasmi dalam sektor ekonomi sudah lama tersemat dalam lembaran sejarah Tamadun Islam.  Dewasa ini komoditi ini seringkali dicanangkan sebagai  instrumen alternatif dalam aktiviti ekonomi dunia semasa. Fakta  ini adalah berasaskan kepada nilai intrinsik atau tersendiri yang  diyakini boleh digunapakai secara lebih meluas serta konsisten.  Namun demikian, masih ramai belum mengetahui dari mana  dan bagaimana ia boleh berkembang Baca lagi...
oleh Najaha Sains dengan Pendidikan/1 Saya sempat menghadiri satu kem yang dinamakan Kem Pimpin Siswa anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar USM. Kem ini diwajibkan kepada setiap pelajar tahun satu. Objektif kem ini tidak diterangkan dengan jelas kepada peserta. Namun, kerana peserta-pesertanya adalah pelajar terpilih universiti Apex, maka mereka boleh berfikir sendiri objektif diadakan kem. Semestinya ingin melahirkan mahasiswa yang berkebolehan ‘survival’, memantapkan jasmani, juga membina keyakinan diri mahasiswa. Baca lagi..
"Dakwah kita memerlukan masa yang lebih dari umur-umur kita"~ Imam Hassan al-Banna Benar apa yang dikatakan oleh Imam Hassan al-Banna itu. Membina generasi rabbani tidak mengambil masa yang sedikit. Setelah kejatuhan khilafah Islam yang terakhir dan umat Islam pula telah dirosakkan dengan pelbagai bentuk ideolagi yang menyeleweng seperti kapitalis, komunis, sekular dan sebagainya, ia memerlukan generasi demi generasi untuk kembali melahirkan sebuah umat terbaik yang diimpi-impikan. Baca lagi..

Pengajaran di sebalik kejadian..

4:03 AM Reporter: PMIUSM 2 Responses
Oleh,
Hisyamuddin Bin Kamarudin
Pengerusi,
Biro Perhubungan Dan Penerangan Kampus
Persatuan Mahasiswa Islam USM



Kes penahanan bekas Mufti Negeri Perlis dan juga Pensyarah di Universiti Sains Malaysia, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin (Dr. MAZA) masih hangat diperkatakan, walaupun telah hampir seminggu berlalu. Penulis mengambil sikap memerhati terlebih dahulu perkembangan ‘isu hangat’ yang selalunya hanya berlaku kepada aktivis politik yang berlabel ‘pembangkang’ ini sebelum memberi komen secara peribadi.

Dalam kes terdahulu, Dr. MAZA telah ditahan oleh sekumpulan anggota Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta anggota polis ketika sedang menyampaikan kuliah agama di sebuah rumah milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang.
Penahanan tersebut melibatkan hampir 30 orang penguatkuasa JAIS serta pihak polis yang bertindak mengelilingi rumah tersebut sebelum melakukan penahanan. Alasan penahanan ialah Dr MAZA telah menyampaikan kuliah di negeri Selangor tanpa tauliah daripada JAIS, walaupun pada asalnya ada dikaitkan dengan tuduhan menyampaikan ajaran ‘Wahabi’.

Isu penahanan Dr.MAZA oleh pihak JAIS pernah penulis dan beberapa orang sahabat bincangkan. Kami sepakat mengatakan bahawa tindakan JAIS itu adalah tidak tepat caranya disebabkan beberapa faktor yang telahpun dijelaskan dalam blog-blog lain.

Berkenaan isu ini, ramai pihak yang telah memberi pandangan masing-masing. Ada yang bersifat positif, ada juga yang bersifat provokatif.


Penulis tidak berhajat untuk menyebelahi mana-mana pihak. Tidak adil untuk kita mengadili sesiapa sahaja tanpa kita kenal dengan individu tersebut. Awal-awal penulis menjejakkan kaki ke Universiti Sains Malaysia (USM) dahulu, ada beberapa ‘cerita’ yang penulis dengar tentang Dr. MAZA daripada senior dan sahabat yang mengenali beliau. Ketika itu beliau masih belum dilantik menjadi Mufti Perlis. Ada yang memuji beliau, terutamanya tentang cara beliau mengendalikan kuliah dan tutorial, termasuk ‘kemurahan’ beliau semasa menjalankan kuiz dan ujian. Terdapat juga senior yang menyindir sikap beliau, lantaran berpengalaman berhadapan dengan beliau dalam keadaan yang kurang menyenangkan. Itu pandangan orang lain terhadap beliau.

Secara peribadi, penulis pernah beberapa kali bertemu dan berurusan dengan Dr.MAZA secara langsung mahupun melalui telefon, hanya untuk bertanyakan masalah-masalah berkaitan agama yang memerlukan penjelasan segera. Sepanjang menjalankan urusan dengan beliau, tiada apa-apa masalah yang timbul walaupun cara beliau kekadang tidak seperti yang kita harapkan. Tetapi hal tersebut bukanlah sesuatu perkara yang besar.

Bukan isu ‘sikap beliau’ yang ingin penulis bangkitkan, tetapi sikap kita semua sebagai mahasiswa islam. Penulis yakin, isu ini timbul disebabkan ada pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan Dr.MAZA disebabkan faktor-faktor tertentu, sama ada ‘isi kandungan’ yang dibawa ataupun cara pembawakan yang digunakan. Penulis yakin, para pembaca mengetahui tentang perkara ini. Bukan niat penulis untuk membesar-besarkan isu ini.

Menongkah arus. Mungkin ianya sesuai digunakan untuk menggambarkan perkara ini. Gerakan pembaharuan yang dibawa kekadang kurang disenangi oleh segelintir pihak, lantas dengan mudah memberi label tertentu kepada golongan tersebut. Daripada pemerhatian penulis yang juga mengikuti ‘gelombang tajdid’ ini daripada ‘belakang’, perkara yang dibangkitkan semuanya didatangkan dengan dalil, malah dalil dan hujah yang sohih. Namun, perkara yang dibawa ini pula kekadang ‘bertentangan’ dengan amalan yang telah kita lakukan sekian lama.

Jika kita tidak mampu berlapang dada, pasti ada yang cepat melatah, sama ada pihak yang mengikuti arus ini ataupun pihak yang ‘terkena’ percikannya.
Agama itu ditegakkan di atas hujah.

Kepada yang mengikuti secara langsung arus ini, jangan sesekali merasakan hanya anda yang benar sebenar-benarnya, sehingga merasa layak untuk menghukum salah pada amalan orang lain.

Dan mereka yang terkena percikan dan tempias pula, adakah anda sudah mengetahui serta ambil tahu, apakah hujah anda untuk berpegang dan mengamalkan sesuatu amalan? Adakah anda amalkan kerana mak ayah anda juga melakukannya, ataupun anda melihat ustaz-ustaz anda mengamalkannya? Sebagai seorang mahasiswa islam yang berada di menara ilmu, tidak layak untuk anda meletakkan diri dalam kelompok ‘orang awam’ yang dibenarkan oleh sesetengah ulama’ untuk ‘bertaqlid’.

Anda berada dalam medan ilmu. Setiap amalan dalam agama itu bermula dengan ilmu. Ilmu itu pula mempunyai rujukan serta hujah untuk diamalkan. Ambil peluang semasa berada di medan ilmu ini untuk mendapatkan sebanyak-banyaknya. Ramai ilmuan di kampus untuk dijadikan rujukan.

Sekali lagi penulis tegaskan, bukan niat penulis untuk membesarkan isu ini atau hendak mencari musuh. Isu seperti ini sebenarnya melibatkan sikap kita dalam menerima sesuatu perkara yang bersifat ‘baru’.

Ada yang begitu ‘excited’ apabila berjumpa sesuatu yang baru, malah dapat bersama-sama arus yang membawa gelombang perubahan itu. Lebih-lebih lagi kerana ianya bersifat Saya sahih sebab rujukan saya sahih!.

Ada pula yang terus menolak, malah membenci golongan yang membawa dan mengikuti arus tersebut dengan alasan cara yang digunakan tidak berhikmah, cuba membawa fahaman yang hendak memecahbelahkan ummah, ataupun terus menerus mengatakan ‘apa salahnya melakukan perkara ini’ tanpa terlebih dahulu tahu dari mana asalnya amalan yang dilakukannya itu.

Mahasiswa islam perlu bersifat terbuka dan berlapang dada. Perkara baru yang datang diteliti dan perkara lama yang diamalkan dihayati. Sesuatu perkara yang dibangkitkan, pasti ada asasnya. Pohon takkan bergoyang jika tidak ditiup angin ataupun digoncang.
Penting untuk kita mengambil tahu semuanya supaya kita dapat membezakan perkara mana yang hanya melibatkan perbezaan pendapat ulama’ dan perkara mana yang benar-benar bertentangan dengan syara’.

Penulis akui, ada beberapa perkara yang diamalkan oleh masyarakat kita pada hari ini sangat bertentangan dengan kehendak agama. Alhamdulillah, penulis dapat mengetahuinya disebabkan perkembangan arus ini.

Namun, ada juga perkara-perkara yang dibangkitkan hanya bersifat perbezaan pendapat ulama’ disebabkan faktor-faktor seperti berbeza pemahaman tentang teks dalil serta berbeza pula cara penafsiran. Malah ada juga disebabkan berbezanya keadaan waktu dan tempat seperti dalam keadaan peperangan, dikelilingi oleh orang-orang yang berdusta dan sebagainya.

Ulama’ silam bersikap sangat terbuka walaupun keilmuan mereka mustahil dapat kita tandingi. Hal ini kerana mereka mempunyai sifat ‘alim dan hakim. Cuba anda baca bagaimana sikap para ilmuan silam apabila berhadapan dengan perbezaan pendapat di kalangan mereka. Kita sepatutnya cuba mencontohi mereka dalam kita menuntut ilmu berkaitan agama. Imam As-Syafie juga tidak mengatakan hanya pendapatnya sahaja yang terbaik. Katanya setiap hadith yang sohih dan pendapat yang lebih baik, itulah mazhabnya. Beliau tidak FANATIK.

“Jangan terus menolak, dan jangan terus menerima. Dengar dulu hujahnya”. Itu nasihat penulis kepada sahabat-sahabat penulis ketika kami berada di dalam kuliah ‘Pengurusan makanan halal’ yang diambil pada semester ini. Pensyarah membawakan sesuatu yang ‘bertentangan’ dengan pegangan ‘mazhab syafie’ dan JAKIM tentang perkara yang melibatkan binatang paling kontroversi bagi umat islam di Malaysia, iaitu BABI.

Ada yang mengatakan pensyarah itu sesat dan tidak betul, hanya kerana beliau membentangkan pendapat ulama’ lain yang bertentangan dengan apa yang kita pegang selama ini. Penulis yang pernah mengetahui perkara-perkara ‘baru’ yang dibawa oleh pensyarah itu mampu berlapang dada dan mampu melapangkan dada-dada mereka yang semakin menyempit.

Lihat! Hanya disebabkan kurang ilmu, dengan mudah seorang pensyarah dilabel. Sebab itu, pentingnya untuk kita mengetahui perkara-perkara yang melibatkan agama ini dengan luas. Jika kita mempunyai hujah yang sahih untuk mengamalkannya, SILAKAN. Jangan kita hanya ambil tahu daripada satu pihak, lalu kita salahkan pihak yang tidak sependapat dengan kita.

Agama itu bukan sekadar benar dari segi cara mengamalkannya, tetapi amalan-amalan itu mampu memberi kesan kepada hati nurani. Tiada guna jika kita merasakan hanya cara amalan kita yang betul, lalu memandang amalan orang lain salah dan tidak sunnah, tetapi pada masa yang sama kita langsung tidak dapat menghayati amalan tersebut.

Contoh mudah ialah solat. Kita lebih pentingkan kedudukan tangan sewaktu berdiri, atau hendak gerak-gerakkan jari ketika tahiyat akhir, lantas memandang jamaah di sebelah sebagai ‘amalan yang salah’, lalu kita terlupa bahawa kita sedang menghadap Allah. Ibadah kita hendak ditunjukkan kepada Allah, bukan kepada orang sebelah. Lalu, sempurna dan ‘sunnah’ lah kita di hadapan manusia, tetapi tiada makna ibadah itu di sisi Yang Maha Esa. (penulis bangkitkan hal ini kerana ia memang berlaku.)

Jadi sahabat-sahabat sekalian, berlapang dadalah dalam menerima perubahan. Penulis tidak menyebelahi atau menyalahkan mana-mana pihak. Tidak pula penulis mengatakan pandangan penulis adalah yang paling benar. Jika ada yang masih tidak berpuas hati, terpulanglah. Benar! Kita semua harus berubah, bersama-sama dengan arus perubahan ini. Tetapi, jika arus ini tidak dikawal dengan sebaiknya, bimbang ia akan bertukar menjadi gelombang yang memusnahkan.

Cuba kita fikirkan...

Mengapa ada pihak yang cuba ‘membersihkan’ amalan yang sekian lama kita lakukan. Rasanya sudah sangat baik. Pasti ada salah di mana-mana. SEMAK KEMBALI.

Mengapa pula, apabila kita cuba membersihkan sisa-sisa jahiliah dalam masyarakat, ada yang tidak berpuas hati? Pasti ada juga cacat dan salah dalam pembawakan kita. SEMAK KEMBALI.

Jika kita merasakan cabaran dan tentangan ini telah membuktikan kita berada di pihak yang benar, kerana Rasulullah juga menerima tentangan yang sama, maka mereka yang membawa ajaran sesat juga ditentang hebat.

Memanglah kita tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak. Tetapi, kritikan dan teguran perlu dijadikan pengajaran, bukan untuk dibakul-sampahkan. Pihak yang hendak membawa islam ini sedikit, jangan kita pecahkannya. Pihak yang menentang islam pula ramai, jangan kita tambahkan lagi. Pihak yang tidak tahu langsung tentang islam, walaupun beragama islam juga sangat ramai. Jangan kita lupakan mereka.
Sekadar renungan bersama...Allahu’alam..

SEMOGA BERJAYA DALAM PEPERIKSAAN.!!!!


Sambungan{+}

Bencana Penarafan Universiti

11:01 AM Reporter: PMIUSM 5 Responses

Oleh Prof.Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak
Naib Canselor USM

TANGGAL 8 Oktober 2009, apabila keputusan penarafan THES-QS diumumkan, saya sedang berada di bandar Giessen, lebih kurang satu jam dari Frankfurt, untuk memenuhi undangan Persatuan Universiti-universiti Eropah (EUA) yang menjadi penaung utama semua universiti di benua tersebut.

Undangan ini sempena persidangan bertajuk "Pengantarabangsaan melewati sempadan Eropah" dan saya diminta memberi pandangan dari sudut luar Eropah sebagai seorang antara dua pengucaptama - seorang lagi adalah rakan Rektor, Berlin Free University, salah satu universiti tertua dan ternama di Jerman, malah Eropah.

Dewasa ini, e-mel bertalu-talu tiba mengesahkan "bencana" yang menimpa Malaysia. Jika Indonesia dengan gempa buminya, Filipina dengan banjir dan tanah runtuhnya, Samoa dengan tsunaminya dan Jepun banjirnya, bagi Malaysia pula menghadapai bencana gara-gara penarafan IPTAnya. Walaupun hanya beberapa buah IPTA sahaja yang terlibat, kesannya tidak kurang menggugat.

Media gamat dengan liputan berita tersebut. Anehnya hanya yang tersenarai sahaja yang dipertikaikan, sedangkan puluhan yang lain yang tidak langsung tersenarai (termasuk IPTS yang saban diiklan sebagai paling 'global' di akhbar-akhbar) nampaknya terselamat daripada bencana tersebut. Seolah-olah membayangkan lebih baik tidak tersenarai sama sekali daripada tersenarai.


Ini sahaja sudah cukup mengelirukan tentang apa cita rasa yang ingin diluahkan dalam hal ini? Kita belum lagi membincangkan tentang "cita rasa" penganjur THES-QS apabila beria-ia mendakwa penarafannya adalah tepat, bebas dan boleh dipercayai tanpa sebarang ragu-ragu lagi! Walaupun ada bukti sebaliknya! Apa pun kita mengangguk saja.

Sebagai perbandingan suasana di Giessen sewaktu persidangan tersebut cukup aman, biar ratusan rektor universiti Eropah dan benua lain, bersama dengan pegawai tertinggi universiti serta pelajar bersesak-sesak di dewan seminar Justus Liebig Universitat Giessen - sebuah IPTA berusia lebih 400 tahun.

Bandar Giessen merupakan bandar universiti dengan hampir 40 peratus penduduknya terdiri daripada warga universiti tersebut. Universitinya moden disulami tradisi ilmiah dan kesarjanaan yang kental.

Universiti itu juga tidak kurang mempunyai pusat kecemerlangan tersendiri di bawah Inisiatif Kecemerlangan Jerman yang dicontohi Malaysia di bawah Inisiatif APEX. Jelas, Justus Liebig Universitat cukup yakin dengan pencapaian dan jati dirinya.

Penarafan, lebih-lebih lagi oleh sebuah organisasi bertujuan komersial, tidak langsung dihiraukan. Mereka tidak juga apologetic - malah kalaupun ada pengajaran daripada aktiviti penarafan, ia dianggap tidak sesuai untuk dijadikan pengukur institusi pendidikan.

Sebaliknya sesebuah universiti itu mempunyai keperibadiannya tersendiri; wawasan serta keunikannya - selaras dengan kefahaman "pendidikan" (bukan sahaja pelajaran atau kajian) yang memegang amanah ilmu dan kesarjanaan.

Kepelbagaian adalah kekayaannya, dan lagi unik adunan kepelbagaian tersebut - lagi terbina keperibadian universiti berkenaan. Ia bukan kilang yang mengeluarkan barangan tidak bernyawa yang seragam dan diseragamkan supaya mudah dibanding-bandingkan untuk tujuan tertentu.

Ia bukannya seperti peraduan ratu cantik yang menaraf pemenangnya berpandukan formula utama 36-24-36 sebagai yang "ideal" dan semuanya dinilai mengikut sukatan ini; kemudian diberi penarafan 1, 2, 3 dan sebagainya. Wajarkah dua insan dibandingkan berdasarkan aspek luarannya sahaja dan bukan sifat keinsanannya?

Begitu juga hal dengan institusi bergelar "universiti" - lebih-lebih ukuran yang dikenakan lebih mirip kepada bahan perkilangan atau untuk peraduan ratu cantik, atau sebaliknya! Pokoknya asas dan pandangan dunia dan amanah sebuah universiti tulen tidak sama dengan pandangan dunia dan amanah sebuah organisasi bukan pendidikan. Namun inilah yang sering kali dicampuradukkan sehingga memusnahkan sama sekali maksud sesebuah universiti di mata ramai di samping mengusutkan lagi keadaan.

Yang turut mengkagumkan adalah rektor-rektor universiti Eropah yang menghadiri persidangan itu amat jelas tentang tanggungjawab mereka dalam membangunkan sebuah universiti. Autonomi berulang-ulang kali disebut untuk menyatakan kelainan sebuah universiti dengan organisasi lain, terutama yang berbentuk komersial, dan wujud untuk mengaut keuntungan.

Autonomi bagi mereka adalah benteng utama yang perlu dipertahankan dalam mengasuh dan mengangkat maruah sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi. Disini mereka tidak berkompromi sama sekali dan enggan dijadi seolah-olah kerbau dicucuk hidung, diarak-arak atau diarah-arah ke hulu dan ke hilir seadanya saja.

Saya mengandaikan yang persidangan tersebut akan gegak gempita membahaskan soal penarafan apabila dilihat dari perspektif pengantarabangsaan. Saya mengagakkan keputusan THES-QS dijadikan tanda aras mutlak, dan turut menimbulkan "bencana" di Giessen seperti mana di tanah air.

Ternyata saya tersilap sama sekali. Selama dua hari berikutnya isu penarafan tidak sekalipun disebutkan baik oleh para penceramah mahupun peserta. Apabila cuba dicukil pendapat mereka, rata-rata maklum balasnya cukup dingin - kalau dalam bahasa Inggerisnya berbunyi "what about it?" (apa halnya?).

Dan bila dikatakan keputusan THES-QS sudah diumum, kelihatan mereka amat sinis dan jelek sekali, bagaikan menegur: "Siapa mereka ini untuk menjadikan universiti kami bak kerbau cucuk hidung?"

Umum tidak kisah langsung tentang isu tersebut kerana angka-angka penarafan bagi mereka tidak membawa erti apa-apa, kalaupun konsep penarafan boleh diterima. Malah seorang ada bertanya: "Bolehkah saya menaraf lima orang anak saya secara adil dan saksama? Apa lagi berbanding dengan anak orang lain?"

Natijahnya, dalam penarafan kita mesti ikut telunjuk orang lain yang mengadun segala-galanya. Umpama ratu cantik, kita juga perlu memperagakan diri, baik berbikini sekalipun, berlenggang lengguk, tersenyum tersipu-sipu untuk menawan pengadil dengan harapan untuk menjadi ratu!

Jika tidak agak sukar membayangkan apa-apa kejayaan. Apatah lagi turut diperhatikan dalam peraduan seumpama ini calon tuan rumah sering kali akan "menang" sesuatu kalaupun tidak hadiah pertama. Hal ini juga beransur lumrah dalam aktiviti penarafan di mana unsur-unsur penajaan dan sogokan (bagi sesetengah pihak dikatakan "rasuah") sudah mula menular.

Maka pernah universiti disyor mengiklankan nama dan logonya di laman web penaja dengan bayaran sekian banyak supaya lebih "mesra pelanggan" dan "mudah diperkenalkan" dan melonjakkan kedudukan. Malangnya tidak kurang juga yang terjebak dengan "tawaran" tersebut, umpama si ratu cantik meniduri pengadil, dengan harapan agar menang jua. Tidak kiralah jika maruah turut tergadai.

Banyak lagi yang boleh dipersoalkan berkaitan aspek etika dan keutuhan (sama ada cara langsung atau tidak), sekali gus membuka tembelang usaha penarafan khususnya yang berbentuk komersial. Cukup banyak telah ditulis tentang hal ini supaya jangan terperangkap sebagai Pak Turut saja!

Maka di Giessen saya menghela nafas lega! Lebih daripada itu, saya bertambah yakin yang universiti sememang ada maruah dan nilai sendiri dalam kelangsungan menunaikan tanggungjawab serta amanah tanpa diganggu-gugat oleh sesiapa pun, apa lagi yang berkepentingan cukup sempit dan anti cendekiawan! Ataupun mencari sanjungan pintas.

Saya juga belajar yang maruah ini ada kaitannya dengan nilai keluhuran dan kejujuran berilmu dan bersarjana, sesuatu yang tak dapat ditolak ansur dalam apa hal sekalipun; jangan sebutlah memperjudikan etika!

Akhir sekali saya sedar kita tidak perlu apologetic sekiranya jati diri ingin diperkasa. Rupa-rupanya universiti yang istimewa itu adalah universiti yang mengerti semua ini dan terus mempertahankan prinsip keilmuan biar "bencana" apa sekali yang mendatang. Bak kata orang tua-tua: Membujur lalu, melintang patah! Pantang maut, sebelum ajal.

PROF. TAN SRI DZULKIFLI ABDUL RAZAK ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia

Sambungan{+}

‘SURVEY’ sebagai kaedah dakwah di lapangan.

11:10 AM Reporter: PMIUSM 0 Responses
Hisyamuddin Bin Kamarudin
Pengerusi,
Biro Perhubungan Dan Penerangan Kampus
Persatuan Mahasiswa Islam USM



**Artikel ini ditulis sebagai satu perkongsian idea untuk para dai’e memikirkan methodologi dan kaedah dakwah yang sesuai digunakan pada masa kini.

Survey atau ‘tinjauan pendapat’ merupakan satu method atau kaedah mengumpul maklumat secara kuantitatif tentang suatu perkara dalam sesebuah populasi. Survey selalunya dijalankan apabila terdapat perkara yang memerlukan pandangan dan maklumat daripada pihak-pihak tertentu dalam masyarakat. Kaedah yang biasa digunakan ialah dengan bertanyakan beberapa soalan sama ada dijawab secara bertulis oleh responden ataupun secara temuramah.

Bagaimana kaedah survey boleh dimanfaatkan dalam aktiviti dakwah lapangan?

1) Orang yang melakukan survey boleh membawa bahan rujukan.

Masalah yang dihadapai oleh para dai’e terutamanya yang baru terlibat dalam bidang dakwah ialah masalah komunikasi. Kemahiran komunikasi yang bermasalah akan menyebabkan perkara yang hendak disampaikan tidak dapat diterima dengan baik. Kemungkinan berlaku para da’ei ‘kehilangan idea’ ketika sedang berinteraksi dengan mad’u. Perkara sebegini menyebabkan ramai da’ie yang lepas tangan dan menarik diri daripada terlibat dalam aktiviti dakwah lapangan.

Hal ini dapat diatasi dengan menggunakan kaedah survey kerana ketika melakukan survey, kita boleh membawa bahan-bahan rujukan seperti pamplet yang terdapat artikel-artikel berkaitan dengan ‘tajuk’ survey. Adalah suatu yang mungkin kelihatan janggal apabila para da’ie menyelak lembaran artikel mencari maklumat sekiranya kaedah menegur secara langsung digunakan kerana ia secara tidak langsung menunjukkan ‘kelemahan’ seorang da;ie yang mungkin akan menyebabkan si mad’u hilang keyakinan.

2) dakwah berlaku secara tidak langsung.

Jika ditanya secara rambang, berapa ramai yang berani untuk pergi berhadapan menegur suatu kesalahan yang berlaku di depan mata? Kemungkinan hanya beberapa kerat daripada keseluruhan ahli persatuan. Langkah pertama pastinya terasa amat berat. Akhirnya terpaksa berpuas hati sekadar ‘menegur dengan hati’.

Kaedah survey insyaallah mampu membantu kerana para da’ie telah disediakan satu ‘sistem’ dalam berinteraksi. Dengan niat (yang diolah, bukan diubah) untuk menjalankan survey dan berbekalkan soalan-soalan yang perlu ditanya, ditambah lagi dengan ‘skema-skema’ jawapan yang telah tersiap sedia, sekurang-kurangnya dapat menambah keyakinan para da’ie memulakan langkah pertama. Kaedah yang digunakan pula bukan menegur secara langsung, tetapi setiap teguran dan nasihat terkandung dalam soalan-soalan atau huraian kepada soalan-soalan yang dikemukakan.

3) Mengatasi masalah yang spesifik.

Kaedah survey biasanya dilakukan untuk mendapatkan maklumat tentang suatu perkara yang spesifik. Dalam aktiviti dakwah, survey boleh digunakan untuk membantu menyelesaikan masalah yang spesifik.

Contoh mudah ; survey kali ini dijalankan untuk mengatasi masalah aurat di kalangan mahasiswa/i. Sasarannya sudah pasti mahasiswa/i. Soalan-soalan yang dikemukakan pula tidak lari daripada membincangkan persoalan yang berkaitan dengan aurat. Jadi, para da’ie mampu disiapkan dan dilengkapkan dengan ilmu-ilmu tentang aurat sebelum turun ke lapangan bertemu mad’u melalui aktiviti penerangan dan bengkel. Hal ini penting supaya para da’ie tidak menjadi kaku apabila tidak dapat menjawab persoalan ‘luar tajuk perbincangan’ jika disoal oleh mad’u. Sekurang-kurangnya, para da’ie boleh mengelak dengan mengatakan bahawa survey ini hanya menumpukan persoalan aurat. Tetapi adalah lebih baik dan sepatutnya seorang da’ie itu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu terutamanya yang berkaitan dengan masalah-masalah fiqh dan hukum hakam.

4) survey lebih daripada sekadar menegur.

Dalam berdakwah, para da’ie seharusnya memikirkan sesuatu yang jauh lebih besar daripada ‘menegur untuk melepaskan tanggungjawab’. Sekadar menegur, mungkin yang ditegur tidak mendapat apa-apa kesan ataupun yang menegur sekadar mampu berpuas hati kerana terlepas bebanan. Akar permasalahan seharusnya diteroka supaya langkah yang lebih drastik atau sesuai dapat diambil hasil daripada gerak kerja yang dijalankan.

3 perkara penting yang perlu diperoleh daripada aktiviti dakwah ialah

i) menegur kesalahan yang dilakukan.
contoh: “perkara yang awak lakukan ini adalah salah.”

ii) mengetahui punca berlakunya sesuatu masalah.
Contoh: “apakah sebab anda melakukan perkara ini?
Adakah kerana tidak tahu atau tidak mahu?

iii) memberikan maklumat yang sebenar
contoh: “agama kita mengajar supaya kita melakukan perkara seperti ini.”

**semua perkara di atas disampaikan secara tidak langsung dalam soalan. Contoh yang diberi hanya untuk memahamkan situasi.

Kaedah menegur secara langsung jarang menyentuh perkara kedua iaitu mencari punca permasalahan. Hal ini mungkin kerana para da’ie malu bertanya ataupun ‘tidak mahu menjaga tepi kain’ mad’u atau mungkin kerana sebab-sebab lain. Melalui survey, subjek kedua ini boleh dimasukkan sekali di dalam senarai soalan-soalan survey yang perlu dijawab oleh mad’u. Secara tidak langsung, sifat malu untuk mengambil tahu itu dapat diatasi atas dasar ingin melakukan survey.

Hasil survey pula dapat dikumpul dengan lebih sistematik kerana setiap butiran perbincangan antara da’ie dan mad’u dicatat. Maklumat yang diperoleh boleh digunakan untuk menghasilkan satu statistik bergraf yang mudah difahami. Malah, hasil itu juga mampu digunakan untuk tindakan selanjutnya seperti digunakan dalam memorandum untuk menuntut supaya pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan yang lebih tegas dan sebagainya.

5) menyampaikan maklumat dengan lebih berkesan.

Hujah yang paling kuat dalam hal agama adalah menggunakan dalil-dalil daripada al-quran dan hadis beserta huraiannya yang muktabar. Tidak semua para da’ie mampu untuk menghafal dalil-dalil naqli yang dipetik daripada Al-quran dan hadis untuk diberitahu kepada mad’u bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan. Hal ini merupakan subjek ketiga dalam perkara yang dibangkitkan diatas iaitu ‘memberi maklumat yang sebenar.”

Setelah selesai proses survey yang hanya membangkitkan persoalan-persoalan, para da’ie perlu ‘menutup majlis’ dengan memberitahu perkara sebenar berkaitan perkara yang dibangkitkan dalam survey yang dijalankan. Jika survey berkaitan dengan aurat, para da’ie perlu menggulung perbincangan dengan memberitahu tuntutan-tuntutan sebenar dalam agama terhadap persoalan aurat termasuk cara pemakaian yang dikehendaki oleh agama, hukum menutup aurat dan lain-lain perkara yang berkaitan.

Hal ini boleh dilakukan dengan membekalkan kepada responden ‘saguhati’ berupa pamplet yang mengandungi perkara-perkara tersebut disamping bahan-bahan bacaan ilmiah yang lain. Hal ini amat membantu terutamanya kepada para da’ie yang masih lemah dalam berkomunikasi secara langsung ataupun tiada keyakinan diri untuk menyampaikannya secara lisan.

6) medan latihan kepada para da’ie

Latihan amat penting untuk melahirkan seorang da’ie yang mampu berhadapan dengan cabaran. Survey dapat melatih kemahiran berinteraksi dan komunikasi seorang da’ie, iaitu satu komponen yang penting dalam dakwah. Komunikasi dalam survey kebiasaannya berbentuk formal. Proses ini sekurang-kurangnya dapat menjadi latihan untuk menghadapi ujian lisan di dalam kuliah ataupun temuduga apabila hendak meminta kerja. Lihat dari sudut yang positif. Banyak kesan baik yang dapat diperoleh hasil daripada tarbiyyah untuk melahirkan seorang da’ie. Perkara yang penting ialah kemahuan. Jika sudah tahu, tetapi masih tidak mahu, tiada siapa yang dapat mengubah pendirian anda.

Langkah pertama memang sukar. Penulis juga hanya menjadi ‘pendengar dan pemerhati’ dalam sesi dakwah lapangan kali pertama. Tetapi lama kelamaan ia mampu membina keyakinan diri untuk berhadapan dengan mad’u yang hanyalah seorang manusia seperti kita.

7) mendapat kenalan yang baru.

Di samping menjalankan tanggungjawab, gunakan kesempatan tersebut untuk mendapatkan lebih ramai kenalan. Seorang da’ie perlu bersifat ramah terhadap mad’unya. Apabila selesai tugasan, sekurang-kurangnya tanyakan nama dan hal-hal yang berkaitan. Lakukan selepas selesai tugasan kerana aktiviti survey tidak melibatkan maklumat peribadi responden.

Akhir sekali, doakan para responden supaya Allah bukakan pintu hati mereka untuk melakukan perubahan. Kita hanya mampu berusaha, Allah jua yang berkuasa memberi petunjuk dan hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki.

“Sesungguhnya kamu (hai Muhammad) tidak akan dapat memberi hidayah (petunjuk) kepada orang yang kamu cintai, tetapi Allah lah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.” (QS. Al-Qasas: 56)

Benar, aktiviti dakwah seperti ini menjadi tanggungjawab fardhi (individu) untuk melakukannya. Tetapi, jika kekuatan itu dapat ditemui dalam jamaah, tiada salah untuk merangka satu ‘program’ untuk melaksanakannya. Paling penting, kita perlu sama-sama bertindak supaya kejadian seperti INI tidak lagi berlaku…
………………………………………………………………………………………………

P/s: Diharap supaya para pembaca dapat melontarkan idea-idea yang bernas untuk melaksanakan agenda dakwah di bumi Minden ini. Kami akui banyak perkara masih belum dilakukan termasuk kaedah diatas. Insyaallah setiap idea akan cuba dilaksanakan. Jika bukan PMIUSM yang lakukan, banyak lagi wasilah dan platform lain yang boleh digunakan.

Allahu’alam.


Sambungan{+}

Ini Sahajakah Imej Malaysia?

10:52 PM Reporter: PMIUSM 5 Responses
Sekadar perkongsian untuk kita renung bersama. Atas nama PERPADUAN, adakah ianya suatu KEPERLUAN yang mendesak ataupun KEHENDAK nafsu yang membuak-buak.

sumber: saifulislam.com



“Alah payunglah payung, ketipang payung. Payung sutera anak raja muda, alah tolonglah tolong, cik abang tolong. Janganlah marah pada adinda!”, merdu suara Aliya, seorang pelajar kejuruteraan elektrik mendendangkan lagu klasik Melayu di Malam Malaysia itu.

Persembahan diserikan lagi dengan iringan penari yang rancak menyusun langkah. Satu depan, dua kiri, satu depan, tiga kanan. Cantik sekali tarian mereka.

Teruja penonton melihatnya. Bakal doktor, bakal akauntan, bakal jurutera, bakal pemimpin teraju negara, semuanya berbakat menari dan berdansa.

Sekejap lagu asli, sekejap lagu balada. Sekejap selembut nasyid, sekejap sekeras Rock membatu.

Malam Malaysia di mana-mana. Seluruh dunia yang ada pelajar Malaysia, mesti ada Malam Malaysia. Alasannya adalah untuk memperkenalkan budaya, mengukuh patriotik kepada negara. Tinggi falsafah indahnya warna.

Tetapi, ini sahajakah wajah Malaysia di mata dunia? Apakah Malaysia hanya ada tarian, hanya ada seni persembahan?

Saya akur bahawa jika Malaysia mahu disebut dari bahasa budaya, tentu sahaja zapin, wayang kulit, tarian dan dansa, itu yang terlintas di kepala. Akan tetapi, saya adalah seorang yang result oriented. Saya tidak melakukan sesuatu melainkan dalam keadaan penuh sedar, dengan apa yang mahu dicapai.

Apa yang mahu dicapai dari Malam Malaysia?

Asing benarkah tarian dan dansa kepada si putih di sini sana, sehingga setiap tahun dansa itu mesti diulang? Asyik-asyik menari, asyik-asyik menyanyi…

Saya telah beberapa kali cuba bertindak secara pro aktif, memberikan cadangan kepada pelajar di kampus-kampus luar negara. Jika mahu memperkenalkan Malaysia di mata dunia, janganlah hanya pada makan pakai, tari dan suara. Di mana idea Malaysia? Di mana pemikiran Malaysia?

Apabila pelajar bertanya kepada saya tentang hal ini, saya sering memberikan pandangan, mengapa tidak diadakan bersama “wacana minda”. Jika soal tari menari tidak boleh ditolak ansur, sekurang-kurangnya adakan juga sesuatu yang dapat memperkenalkan Malaysia dari sudut yang sesuai dengan imej universiti tempat ilmu dan pemikiran.

Mengapa tidak diadakan sesi, memanggil pakar-pakar ekonomi Malaysia, hadir memberikan pembentangan untuk memperkenalkan polisi pembangunan negara? Kalau rasa terlalu sensitif untuk menjemput figure yang dikaitkan dengan politik, kita ada ramai ahli akademik yang dapat menampilkan idea mereka di peringkat antarabangsa.

Tayangkan dokumentari tentang Malaysia yang tidak sukar untuk diperolehi dari pelbagai badan dan media. Didik masyarakat Barat tentang sesuatu yang boleh memperbaiki jati diri mereka. Bukan hanya hedonisma atas nama budaya.

BERALASANKAN KAUM CINA

Sesetengah pengalaman saya membabitkan alasan pelajar bahawa mereka mesti melibatkan tari menari kerana sejumlah besar tenaga penting persatuan adalah pelajar Malaysia berbangsa Cina. Sungguh pelik… apakah pelajar Cina bukan rakyat Malaysia, yang juga ada tanggungjawab sosial, politik, ekonomi, dan intelektual, sama seperti mana-mana bangsa Malaysia? Apakah hedonisma hanya salah pada harga diri Melayu tetapi tidak Cina? Apakah kaum Cina di Malaysia tiada agama untuk dipedulikan? Di mana rukun negara yang pertama?

Itu kalau benar, kaum Cina yang mahukan tari menari dan dansa.

Saya pernah berdialog dengan sebuah persatuan pelajar Malaysia yang kepimpinannya adalah daripada pelajar Cina. Subhanallah, mereka sangat terbuka.

“Saya harap peraturan-peraturan pelajar Muslim boleh sama-sama kita hormati”, saya memberi pandangan.

“Sudah tentu. Kaunter arak akan dilabelkan sebagai ‘not for Muslims‘ dan kami harap pelajar Muslim akan berpakat agar tidak bercampur jantina pada satu meja ketika dinner, dan tidak bercampur jantina dalam kumpulan bola tampar itu nanti. They need to be pro active“, kata Presiden persatuan pelajar Malaysia itu.

Sangat terbuka dan bertanggungjawab terhadap pluraliti agama dan budaya Malaysia.

Tetapi, pelajar Melayu Muslim sendiri yang suka bercampur bebas, terdesak untuk berjoget tanpa diminta oleh persatuan. Maka memberikan alasan bahawa mahu menghormati bangsa lain, hanyalah alasan untuk meneruskan budaya gersang minda dan lapar hedonisma pelajar Malaysia.

ISLAM SEBAGAI SEBAHAGIAN DARIPADA SEBUAH MALAYSIA

Saya hairan. Jika Mak Yong yang sudah pupus kerana tenggelam oleh kesedaran beragama itu, boleh diberikan nafas dan nyawa baru atas nama budaya, mengapa tidak Islam juga dipromosikan kerana ia elemen yang penting bagi sebuah Malaysia? Selain Islam, tidak salah untuk dibuka ruang agar wakil agama Kristian, Buddha dan Hindu di Malaysia, berdialog tentang kesedaran beragama di Malaysia. Mungkin boleh dibincangkan tentang bagaimana agama berperanan membina internal strenght di dalam jati diri bangsa Malaysia.

Kalau aktiviti agama, penuh prejudis, halangan dan kekangan. Tetapi tari menari, cepat sahaja bantuan diberi. Saya tidak faham di mana rasionalnya hal ini. Seorang doktor, bukan hanya menjadi doktor. Dia akan memimpin sebuah jabatan, dia akan berurusan dengan pesakit yang insan. Maka, pelajaran tarian mana yang bakal meninggalkan kesan pada kepimpinannya di masa hadapan?

Segala peruntukan dan sokongan, hanya untuk nyanyian, tarian, fesyen dan pakaian. Itu sahaja imej Malaysia yang diulang-ulang dari zaman sebelum merdeka, sampailah menjelang milenium kedua.

Kerana kemaruk hedonisma, budaya dan jati diri Malaysia disalah guna untuk melesenkan nafsu muda yang tidak habis-habis mahu berpesta.

Di manakah masa depan Malaysia yang lebih bermakna?

Soalan itu tenggelam oleh libasan lidi Mak Yong di Barat sana.

Sambungan{+}

Persatuan Mahasiswa Islam USM 09/10

10:34 AM Reporter: PMIUSM 0 Responses
video




Sambungan{+}

Terima Kasih Karim, Wallahu Akram

10:09 AM Reporter: PMIUSM 0 Responses
Artikel atau tulisan Saifulislam yang terbaru menyentuh tentang liku-liku hidup hamba Allah yang berada di medan dakwah. Pesanan yang cukup menyentuh hati dalam masa yang sama menguburkan impian dam harapan yang tercetus di hati rata-rata muda mudi untuk lari dari medan perjuangan yang bernama dakwah.Sekadar perkongsian daripada Persatuan Mahasiswa Islam USM.Mengertilah mahasiswa mahasiswi Islam sekalian, keberadaan kita di Universiti Sains Malaysia ini bukan hanya untuk belajar semata-mata, namun ada perjuangan lain yang perlu kita bawa.Sebagaimana Sultan Muhammad Al-Fateh menawan kota Konstantinople di kala usianya yang masih muda remaja, fikirkanlah pula remaja-remaja kita pada hari ini.Sama-sama kita fikirkan untuk Umat di luar sana.Allahu'alam.


Sumber Saifulislam

Hujung serbanku selalu basah.

Sering menjadi tempat aku mengelap mata.

Tidak sedikit tangisan yang tumpah di sepanjang liku perjalananku mengenal erti dakwah.

Apalah yang budak hingusan ini tahu tentang perjuangan?

Namun dalam usia yang berputik jagung, kusambut satu azam yang Allah campakkan ke hulu hati, agar tidak berpaling lagi.

Jika setiap hari, kebanyakan teman sebayaku asyik melayan Rock kapak dan hidup ketawa, aku dan segelintir ghuraba’ di medan itu dilatih oleh para murabbi agar bertanya pada setiap perjalanan masa, “hari ini, apa yang sudah kubuat untuk Allah?”

Ungkapan yang lebih enak dalam bahasa khalifah terakhirku, “bugun, Allah’icin ne yaptin?”

REALITI DAKWAH

Benar sekali nasihat Luqman kepada anaknya tatkala buah hati pengarang jantung itu diperkenalkan kepada perintah dakwah.


“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah seolat, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang amat besar dan penting untuk dilakukan” [Luqman 31: 17]


Diejek, dipulau, dijadikan bahan ketawa, semua itu menjadi makanan harian di sepanjang hari-hari awal diriku mengenal erti dakwah. Kehidupan yang sedemikian rupa, menjadikan usia remajaku, tidak mudah untuk ditoleh sebagai kenangan yang menguntumkan senyuman. Biar pun diriku cemerlang dalam merangkul anugerah akademik saban tahun, tetapi graf kehidupanku tidak ubah seperti catatan mesin mengukur gempa bumi yang turun naik pada skala Richter.

Setiap kali graf itu mendatar, aku didatangi rasa bimbang dan gelisah.

Pasti ada sesuatu yang bakal datang menguji.

Allah tidak lama membiarkan diriku alpa dengan keamanan kerana mungkin Dia Maha Tahu bahawa aku adalah manusia yang hanya boleh dibentuk dengan musibah dan ujian, bukan kesenangan dan keselesaan. Justeru setiap tahun mastautinku sebagai thalib al-’ilm di sekolah, ada sahaja perkara besar yang menimpa sampai aku lali dengan segalanya.

UJIAN YANG MENYELAMATKAN

Selayaknya aku memuji Allah.

Rupa-rupanya segala kesusahan itulah yang menyelamatkan aku dari fitnah kehidupan di usia muda. Kesakitan menanggung dakwah menyebabkan aku hilang selera pada keseronokan yang digilai rakan-rakan seusia. Aku tidak mampu mengecap rasa manisnya kerana seluruh reseptor pada tubuh badanku hanya mengenal hidangan satu rasa. Bukan manis dan bukan masin. Hanya pahit, perisa kebenaran.

Aku berjaya menempuhnya.

Zaman persekolahan sudah lama berlalu.

Ia bersambung dengan perjalanan yang tidak pernah meredakan jatuh bangun kehidupan yang penuh liku. Aku juga yakin, beginilah sebenarnya jambatan untuk sampai ke Syurga. Dunia penjara Mukmin, jalan ke Syurga penuh ranjau yang menjanjikan damai di hujung perjalanan.

Namun Allah tahu sakit dan sihat iman hamba-Nya. Tidak sekali-kali dibiarkan hamba-Nya diuji hingga melepasi tahap keupayaan diri. Sesekali akan Allah datangkan sinar gembira, terutamanya pada melihat generasi-generasi yang menyusul di belakang berjaya menyertai mata rantai jalan ini.

Ketika fitnah Jahiliyyah semakin menggila, Allah suka memberi petunjuk kepada kita bahawa biar sehitam mana sekali pun pekatnya malam, sentiasa ada kunang-kunang dan pelita yang menyala tabah di sana sini. Semuanya demi menyedarkan kita, bahawa tiada malam kecuali datang selepasnya siang.

Di antara khabar gembira itu, ada yang datang segera, ada yang ditangguhkan-Nya ke masa yang lebih bermakna.

PERTEMUAN YANG TIDAK DIDUGA

“Assalamualaikum. Hoi, kau tak kenal akukah?” tanya seorang lelaki yang memegang lenganku di sebuah pasar raya.

“Waalaikum al-Salaam. Muka sangat familiar. Tapi ana tak berapa ingat di mana kita bertemu,” saya berterus terang sambil menjawab salamnya.

“Kau memang tak ingat aku sebab kau tentu berusaha keras nak lupakan aku. Aku Karim, senior kau kat Izzuddin dulu,” katanya penuh semangat.

Lucu juga. Seorang aku engkau, seorang ana anta.

Aku tersenyum mendengar ulasannya bahawa dia pasti terhapus daripada ingatanku dek pengalaman aku bersamanya semasa di sekolah dulu. Karim (bukan nama sebenar) adalah di antara senior yang amat membenciku. Sebab itu wajar bagi beliau untuk aku tidak mengingatinya.

Kami berbual sedikit tentang perkembangan masing-masing. Katanya, beliau teragak-agak mahu menegurku sebab aku sudah menjadi selebriti! Tetapi dia gagahkan diri menegur kerana ada hajat yang mahu ditunaikan.

“Aku sebenarnya ada dua benda yang aku nak cakap dengan kau. Satu nak minta maaf, satu nak ucap terima kasih!” ujar Karim kepadaku.

“Err, lain betul bunyinya tu. Apa bendanya?” aku bertanya.

“Aku nak minta maaf pasal kotak Yeo’s!” katanya kepadaku.

“Hahaha!” aku tidak dapat menahan ketawa.

Peristiwa itu sudah aku lupakan tetapi tidak bagi Karim.

KISAH LAMA

Semasa aku di Tingkatan 4, aku menjadi Presiden BADAR pertama yang dilantik daripada kalangan pelajar Tingkatan 4. Selalunya jawatan penting ini disandang oleh senior di kelas STA1 atau Tingkatan 6 Rendah.

Karim yang sudah sekian lama membenciku, mungkin kebencian jadi bertambah-tambah dengan perlantikan itu.

Suatu petang, semasa aku berjalan sendirian di koridor menuju ke bilik Ketua Pelajar bagi memasang kaset alunan nasyid tanda menjelangnya Maghrib, aku dikejutkan sesuatu. Sebuah kotak air minuman Yeo’s yang masih separuh berisi jatuh dari tingkat atas tepat mengena dahiku. Sebahagian daripada air tebu sintetik itu tumpah ke mukaku dan dahiku sakit terkena bucu kotak itu.

Aku menoleh ke atas dan ternampak Karim ketawa melihat hasil kerjanya yang menjadi itu.

Hujung serban kutarik untuk mengusap muka yang basah.

Aku tidak pernah menceritakan kejadian ini kepada sesiapa kerana ia terlalu simbolik. Biar pun sekotak air yang dicampak ke muka, terlalu ringan jika mahu dibandingkan dengan kesengsaraan generasi dakwah yang silam, ia tetap menjadi kenangan yang amat simbolik dalam liku-liku hidupku mengenal dakwah. Kotak Yeo’s itu menjadi simbol kebencian Karim kepadaku, yang tidak pernah menginginkan apa-apa kepadanya kecuali kebaikan dan keselamatan dunia dan Akhirat.

“Ana dah tak ingat cerita tu!” aku tersenyum dan tersentuh dengan permohonan maaf Karim.

“Kedua, aku nak ucap terima kasih!” kata Karim lagi.

“Terima kasih sebab apa?” aku kehairanan.

“Masa di sekolah, macam-macam orang buat kat engkau. Tapi kau buat bodoh je. Kau cakap, cakap, dan cakap. Sebenarnya, bila aku dah keluar sekolah, sambung kat U, dah kahwin, jadi laki orang, jadi bapak orang, barulah aku tersedar, nak jadi orang… haha!” Karim bercerita dengan tawa bercampur rasa.

“Bila aku tersedar dan nak berubah, semua yang kau pernah cakap masa di sekolah dulu, sedikit sebanyak itulah yang aku pakai. Lagi pun banyak yang kau tulis kat blog. Aku silent reader!” Karim menyudahkan ceritanya.

Kata-kata Karim amat tulus dan ikhlas.

Aku hilang kata-kata dan sebak menahan gelora dada.

PUJI DAN PUJA UNTUK-MU

Ya Allah, ampunkan aku!

Aku pernah hampir berputus asa. Pernah menyoal di manakah kesudahan usahaku dan rakan-rakan menyeru manusia kepada-Mu. Seandainya aku berputus asa dan berhenti dari menyampai, rugilah Karim, rugilah aku, dunia dan Akhirat.

Tatkala pertemuan aku dan Karim setahun dua yang lalu berlaku tanpa diduga, aku sering menjadikan kisah ini sebagai kata perangsang buat generasi adik-adik yang sedang menyambung mata rantai dakwah di kampus dan sekolah. Jangan berputus asa, jangan kecewa dan berasa lemah tidak berupaya.

Setiap kali kita bercakap seruan dakwah, cakap itu sebenarnya sampai.

Biar pun ia disambut dengan ejekan dan caci makian, ia sudah pun tembus ke telinga, mata, otak dan hatinya.

Dia mungkin meremehkannya di depan dirimu.

Namun akan sampai harinya, mutiara pemberianmu dikutipnya sebagai bekal menuju perubahan.

Berlapang dadalah kalian wahai adik-adik di medan dakwah.

Jalan itu memang begitu.

Tugasmu bukan memaksa perubahan, tetapi sebagai penyampai pesan.


“Oleh itu berikanlah sahaja peringatan kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya, kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang pemberi ingatan; Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu)” [al-Ghasyiah 88: 21-22]


Terima kasih Karim.

Wallaahu Akram!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG


Sambungan{+}

Seminar Kebangsaan Sejarah Malaysia : Di Mana Kebenarannya?

9:54 AM Reporter: PMIUSM 0 Responses




Sambungan{+}

Majlis Sambutan Hari Raya

7:53 AM Reporter: PMIUSM 0 Responses


Assalamualaikum w.b.t

Dengan sukacitanya, Persatuan Mahasiswa Islam USM akan mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Eidulfitri Mahasiswa Mahasiswi USM pada 4 Oktober 2009 ini. Majlis ini akan diadakan di Dewan Peperiksaan bermula jam 2.00 petang hingga 10.45malam. Program pada sebelah petang dirangka bertujuan mengeratkan ukhuwah sesama para mahasiswa mahasiswi manakala program pada sebelah malam pula adalah jamuan hari raya. Di samping jamuan tersebut, PMIUSM dengan berbesar hati mengajak sahabat-sahabat untuk menghayati sedikit renungan daripada krew ESQ Training. Bayaran kepada sesiapa yang berminat untuk mengikuti program yang dianjurkan ini ialah sebanyak RM5 sahaja. Pendaftaran boleh dibuat di kaunter pendaftaran di Foyer Perpustakaan. Semua mahasiswa mahasiswi usm dijemput untuk daftar segera!Staff juga boleh! InsyaAllah. Doakan semoga program atau majlis ini berjalan dengan lancar. Amin. Terima Kasih

Lujnah Perhubungan dan Penerangan Kampus
Persatuan Mahasiswa Islam USM



Sambungan{+}

Tetapkan Masa Untuk Tidak Ditepati?

4:19 AM Reporter: PMIUSM 1 Response

oleh Najaha
Sains dengan Pendidikan/1
Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan


“Esok, perjumpaan kita pada pukul 5 petang”, seorang pemimpin pelajar tegas memberi arahan.

“kelas saya tamat pukul 5 petang. Tak mungkin saya dapat sampai di sini tepat pukul 5. Apa kata perjumpaan dimulakan pukul 5.30 petang?” seorang pelajar bangun memberi cadangan.

“tak apa, kalau cakap pukul 5, maknanya pukul 5.30 semua akan berkumpul. Kalau tetapkan pukul 5.30 maknanya pukul 6 lah mesyuarat bermula”

Situasi ini sering berlaku di mana-mana terutama dalam kalangan pelajar Melayu, tidak ketinggalan persatuan-persatuan yang membawa imej Islam dan dakwah pun. Mengapa mesti ditetapkan sesuatu waktu yang memang sudah bercadang untuk tidak ditepati?

Keliru.

Mengapa tidak ditetapkan dengan tepat bahawa pada waktu itulah akan bermula perjumpaan atau sesuatu mesyuarat. Bukan perlu ditambah setengah jam selepas itu baru majlis akan dibuka. Formula dan ajaran dari siapa yang mereka amalkan? Pengurusan masa yang bagaimana mereka dilatih? Adakah perkara ini hanya berlaku di Malaysia atau juga di negara-negara luar yang telah mencapai kemajuan?



Situasi ini bukan berlaku semasa perjumpaan mak cik-mak cik di kampung dengan peniaga ikan, bukan juga anak-anak muda yang hanya bersekolah setakat darjah 6, tetapi berlaku dalam kalangan mahasiswa malah pemimpin kepada mahasiswa yang pastinya suatu hari nanti akan menjadi pucuk pimpinan negara. Jadi, mahukah Malaysia menerima pemimpin yang sebegini? Mahu atau tidak itulah hakikatnya jika mahasiswa tidak berubah bermula dari sekarang.

Saya juga pernah bertemu dengan seorang pelajar universiti yang sering mengalami stress. Katanya, tugasan bagi kursus yang diambilnya sangat banyak. Mungkin 24 jam sehari yang diperuntukkan tidak cukup sehingga sering kali dia tidak tidur malam untuk menyiapkan assignment atau tugasan. Akibatnya, subuh keesokan paginya kadangkala tergadai atau paling kurang ‘subuh cap gajah’. Saya menelusuri kehidupannya sebagai rakan yang agak rapat dengan saya. Barulah saya mengerti mengapa tugasannya dirasakan sangat banyak dari kursus-kursus lain. Pada hari minggu Sabtu dan Ahad, dia sering ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan ‘abang’nya. Kadang-kadang keluar hari Jumaat dan akan pulang ke kampus hari Ahad. Setiap malam dia akan menangis ke’stress’an sambil membuat tugasan-tugasan yang belum selesai.

Kedua-dua situasi di atas semuanya berkaitan dengan masa. Satu, tidak menepati masa dan satu lagi gagal menguruskan masa dengan cemerlang. Kedua-duanya juga saya bertemu berlaku pada orang Islam. Sedangkan awal-awal lagi ALLAH telah menurunkan wahyu yang ringkas tetapi padat.



“Demi masa. Sesungguhnya insan itu berada dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, dan mereka yang berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan kepada kesabaran.” (surah al-asr)

Ramai yang menghafal surah ini. Malah setiap kali solat ramai juga yang menjadikan surah ini sebagai surah lazim kegemaran selain surah al-Ikhlas kerana kependekan ayat-ayatnya. Tetapi berapa ramai yang memahami isi kandungannya? Dan berapa ramai pula yang mengamalkan suruhannya?

Imam Syafie juga telah berkata bahawa : “Masa itu ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya, ia akan memotongmu.”

Usah berbangga mahu melahirkan mahasiswa bersama kemahiran insaniah yang tinggi, usah bercakap tentang melestarikan alam jika perkara sebegini yang menjadi asas kejayaan masih gagal diuruskan. Tidak ada gunanya mempunyai segunung pengetahuan, atau sehebat keyakinan bila memberi ucapan tetapi masih terkial-kial dalam menepati masa. Jangan diharap membina bangunan mencakar langit jika tanah dibawah masih belum mampu dikemaskan.

Setiap pemimpin apatah lagi pemimpin persatuan atau jemaah yang berperwatakan Islam perlu menunjukkan satu qudwah kepada masyarakat tentang bagaimana Islam menguruskan masa. Jika mereka tidak memberikan contoh, pada siapa yang mahu diharapkan untuk mempamerkan sifat Islam yang sebenar. Jangan disalahkan orang bukan Islam jika mereka sering mengatakan orang Islam tidak menghargai masa kerana orang Islam sendiri yang tidak menzahirkan sifat-sifat ajaran Islam.

Justeru, berusahalah dengan sepenuh ikhtiar agar agama kita dipandang tinggi, supaya ajaran Islam tidak disalahertikan dek kerana pembawa mesej Islam yang tidak kena gayanya. Jangan biarkan orang lain mencemuh Islam hanya kerana sifat kita yang kononnya membawa mesej Islam tetapi hakikatnya masih jauh menyimpang dari garis panduan Islam. Bawalah Islam secara syumul atau menyeluruh. Bukan hanya menekankan Islam dari sudut pakaian atau ikhtilat(pergaulan) tetapi juga segenap sudut yang diperjuang dan ditekankan dalam Islam.

Menggambarkan betapa berharganya setiap saat bagi seorang Islam, ada ulamak yang mengatakan “kewajipan itu lebih banyak dari masa yang ada”. Itu pun jika kita sering melaksanakan kewajipan dalam setiap masa, apatah lagi jika kita sering membuang masa, bayangkan berapa banyak kewajipan yang telah kita tinggalkan dalam setiap saat?

Oleh itu,fikir-fikirkanlah..

Sambungan{+}

Riak Jadikan Amalan Ibarat Debu Berterbangan

11:28 PM Reporter: PMIUSM 0 Responses


ADAKAH rahsia yang tersimpan di antara diri kita dengan Allah Taala? Menyembunyikan amal kebaikan dari pengetahuan orang lain. Sungguh berat untuk dilakukan kerana lumrahnya manusia memang suka kepada puji-pujian. Berbeza jika seseorang itu melakukan kejahatan, dia akan bersusah-payah menyembunyikan kejahatannya itu daripada pandangan manusia.


Bersyukurlah kerana Allah SWT menghijab segala aib kita daripada mata manusia. Apakah rahsia yang anda sembunyikan itu? Jika ia suatu kejahatan, maka banyakkanlah istighfar, kalau rahsia itu adalah amal ibadat yang ikhlas, maka bersyukurlah kerana Allah SWT menunjukkan diri anda.


Al-Shaikh Muhammad Salih Al-Munajjid menukilkan dalam kitabnya Silsilah A’mal al-Qulub: "Imam al-Mawardi menghasilkan penulisan yang banyak dalam bidang tafsir al-Quran, fiqah dan cabang ilmu lainnya. Namun tiada satu pun karyanya yang diterbitkan semasa hidupnya, melainkan ketika saat akhir hayatnya. Beliau berkata kepada sahabatnya "Semua buku itu adalah hasil karyaku, aku berwasiat kepadamu jika aku sedang menghadapi nazak, letakkanlah telapak tanganmu pada telapak tanganku. Jika aku menggenggamnya ketahuilah bahawa tidak ada satu pun daripada hasil tulisanku itu diterima oleh Allah Taala. Bawalah buku-buku itu ke sungai Tigris dan campakkanlah ia semua ke dalamnya. Sebaliknya, jika aku membuka tanganku, maka ketahuilah bahawa semuanya diterima Allah Taala sebagaimana yang kudambakan dari-Nya." Ternyata Imam al-Mawardi membuka tangannya dan sesuai dengan wasiatnya buku beliau telah diterbitkan.

Cukuplah hanya Allah SWT yang tahu segala amal baik yang dilakukan. Ini bukan bermakna kita tidak boleh menghebahkan amal berkenaan. Ia tidak salah jika diniatkan untuk memberi teladan kepada orang lain dan supaya syiar Islam dapat dijadikan contoh manusia seluruhnya. Tetapi bagaimana dengan risiko sifat riak yang merosakkan amal?


Jika kita tidak mahu terjebak oleh penyakit berbahaya ini, sebaiknya kembalilah mengulang kaji pelajaran ikhlas yang pernah membuat Saidina Abu Hurairah RA amat tertekan ketika menyebut tentang hadis Rasulullah SAW berikut ini. Dikatakan bahawa beliau kerap menangis kerana takut ketika membacakannya.



Sabda Rasululllah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang pertama kali diputuskan hukumannya pada hari kiamat kelak ialah seorang lelaki yang mati syahid, dia akan dihadapkan kepada Allah SWT, kemudian Allah SWT mengingatkannya akan nikmat yang pernah dianugerahkan kepadanya sewaktu di dunia dulu, maka dia pun kembali mengingatinya, kemudian Allah Taala bertanya "Apa yang engkau lakukan dengan nikmat yang Aku anugerahkan kepadamu? Ia menjawab "Nikmat itu saya pergunakan untuk berperang kerana membela agamaMu sehingga aku mati syahid. Allah SWT berfirman "Engkau dusta! Engkau telah berperang dengan tujuan supaya disebut sebagai orang yang berani (pahlawan) dan perkara itu telahpun diperkatakan orang sebegitu ke atas mu." Kemudian dia diheret di atas mukanya dan dicampakkan ke dalam neraka.


Kemudian dihadapkan pula seorang yang alim, dia mengajar ramai manusia dan banyak membaca al-Quran. Allah SWT bertanya "Apakah yang engkau telah lakukan dengan nikmat-ku itu? Ia berkata "Aku belajar ilmu dan mengajarkannya kepada orang lain dan banyak membaca al-Quran demi keredaan-Mu. Allah berfirman "Engkau dusta! Sebenarnya engkau belajar dan mengajarkan ilmu supaya disebut sebagai orang alim, dan engkau membaca Al-Quran supaya mendapat gelaran Qari’ dan semua itu telahpun disebut orang sebegitu kepadamu." Orang itu kemudian diheret dan dihumban ke dalam neraka.


Kemudian dihadapkan pula orang yang dermawan yang diluaskan rezekinya oleh Allah Taala dengan pelbagai macam harta benda. Kemudian Allah bertanya "Apa yang engkau telah lakukan ke atas nikmatKu? Ia menjawab "Tiada satu jalan pun yang Engkau suruh supaya diberikan derma kepadanya kecuali saya telah dermakan harta saya di sana . Allah SWT berfirman "Engkau dusta! Engkau menderma supaya disebut sebagai orang yang dermawan dan ia telahpun disebut orang begitu kepadamu. Kemudian ia diheret ke neraka." Hadis riwayat Imam Muslim

Bolehkah kita terhindar daripada niat yang lain selain untuk Allah SWT? Betapa ruginya jika amal itu bagai debu yang berterbangan. Firman Allah Taala yang bermaksud "Dan kami tunjukkan segala amal yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amal itu bagaikan debu yang berterbangan. " (Surah Al-Furqan: Ayat 23).

Hasutan syaitan ke atas orang yang beramal tidak akan berhenti. Adakalanya kita berasa malas melakukan ibadat kerana ada bisikan yang mengatakan "Untuk apa beramal jika hati tidak ikhlas, tentu tidak diterima oleh Allah."

Sambungan{+}

"Janganlah bersikap kikir dan berfikiran sempit kerana ittu adalah sumber kejahatan dan dosa.Kembangkanlah dalam tingkahlakumu cermin kemurahan Allah yang selalu melimpahkan rahmatNya kepada seluruh makhlukNya yang tidak terhitung banyaknya itu,walaupun tidak satu makhluk pun yang berhak menuntut kepadaNya. Belanjakanlah hartamu semampu kamu di jalan Allah.Simpanlah sebanyak yang kamu boleh untuk keperluan hidupmu,dan dari simpanan itu penuhilah keperluan hamba-hamba Allah yang miskin.Janganlah pernah mundur dari mengorbankan nyawa dan wang untuk menjunjung tinggi kalimah Allah dan memajukan agamaNya.Apabila kamu cinta kepada Allah,maka korbankanlah harta bendamu untukNya."Inilah perintah umum yang menyangkut
"Infaq fi Sabilillah"


Sahabat Chat



Laman Ilmiah

Pautan Pimpinan Pmiusm